Pergi ke belukar memasang pukat,
Pulangnya lewat di hujung petang,
Jikalau sentiasa berjimat cermat,
Rezeki nan secupak terasa segantang.

Itulah pantun empat kerat yang boleh kita contohi di musim tengkujuh ini.

Rakyat Malaysia perlu lebih berjimat untuk mengecapi kehidupan yang lebih selesa dan mencukupi. Apakah langkah-langkah untuk berjimat?

Pastikan anda sudah amal lima perkara ini!

#1 Simpan Dulu, Baru Guna

Dapat sahaja gaji, siapa yang terus menyimpan terlebih dahulu? Ha, bagi mereka yang sudah ada KWSP, tentulah gaji mereka telah dipotong siap-siap untuk simpanan hari tua. Amalan ini sangat penting kan? Jika belum, boleh rujuk saya.

Selain menyimpan untuk hari tua, kita juga haruslah menyimpan di dalam tabung kecemasan – sebanyak setahun dua gaji. Lihat saja di waktu pandemik Covid-19, berapa ramai yang kais pagi makan pagi, menggelepur semasa PKP, tiada wang simpanan sedikit pun untuk anak bini makan?

Bukan itu sahaja, menyimpan pula ada caranya. Kalau dulu orang menyimpan di bawah bantal dan almari baju, sekarang orang sudah pandai menyimpan di dalam bank dan pakai online banking.

Tapi sayangnya, sekarang bukan lagi masa untuk menyimpan duit banyak-banyak di dalam bank! Kadar inflasi yang laju bakal menyebabkan anda pasti rugi. Nak menyimpan secara efektif? Baca post ini!

#2 Catat Perbelanjaan

Selalu rekod perbelanjaan harian anda sekeluarga di dalam sebuah jurnal atau diari. Apabila kita selalu mencatat perbelanjaan harian, kita akan tahu ke manakah duit kita selalu terbocor.

Tabiat ini memudahkan proses muhasabah diri, apakah kita masih on track atau sudah sampai tahap boros dalam berbelanja. Jadi, tak perlulah kita membuat alasan gaji tak pernah cukup! 

Anda pasti boleh menyimpan lebih jika bijak berbelanja.

#3 Kawal Kad Kredit

Tidak kira gaji sebesar mana, tanpa disiplin mengawal nafsu berbelanja, sekejap saja gaji seseorang itu boleh habis licin. Bak kata pepatah, “besar periuk, besarlah keraknya”. Sedih sekali jika periuk tidaklah besar mana, tapi keraknya terlampau tebal pula…

Aha, isu kad kredit! Walau banyak manfaat kad kredit, kesilapan biasa pengguna kad adalah terbelanja melebihi kadar yang sepatutnya. Lebih teruk lagi, apabila anda mula terjerut dengan hutang kad kredit yang tinggi kadar interest!

Tanpa kawalan bijak, hutang-hutang ini boleh beranak pinak. Bermula dengan gaji sebulan anda habis, wang simpanan anda pun habis dan paling teruk muflis di usia muda. Hati-hati. Rekod CCRIS yang buruk ini boleh menyebabkan masa depan anda menjadi gelap.

#4 Ukur Baju Di Badan Sendiri

Ada orang terpaksa berbelanja kerana hendak menjaga air muka. Mereka terpaksa membeli kereta, beg tangan mahal-mahal, bersalin di hospital lima bintang… Hias rumah mewah-mewah…

Semuanya kerana hendak menjaga persepsi dan mulut orang.

Majlis tunang, akad nikah, kenduri kahwin dan aqiqah pun terpaksa dibuat secara besar-besaran, sedangkan si suami baru sahaja bekerja dan belum ada wang simpanan yang mencukupi untuk melalui cabaran masa depan penuh badai.

#5 Rujuk Pada Yang Ahli

Membuat keputusan membeli sesuatu secara terburu-buru boleh membawa kepada kerugian yang amat besar! Letakkan satu limitasi, beberapa tempoh masa bertenang untuk anda fikir masak-masak.

Apabila anda ingin membuat suatu keputusan besar seperti membeli rumah, membeli kereta ataupun melabur, pastikan anda sudah mendapatkan khidmat nasihat dari beberapa orang yang dipercayai.

Banyakkan membaca dan mengkaji sebelum membuat sebarang keputusan. Jarang sekali kita membincangkan hal duit bersama keluarga. Jadikan topik-topik ini bukan suatu keaiban atau rahsia dengan keluarga.

Rujuk kepada pakar boleh membantu anda membuat keputusan dengan lebih bijak!

Azah Asyraf

Whatsapp | Facebook | Instagram